Solat Tarawih merupakan salah satu solat sunat yang sering dikerjakan oleh Muslim terutama dalam bulan Ramadan. Solat sunat ini sebenarnya dikatakan lebih istimewa berbanding solat-solat sunat yang lain kerana ia dikhususkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan, iaitu bulan yang padanya terdapat satu malam (Lailatul Qadar), yakni malam yang seribu kali lebih hebat daripada seribu bulan yang lain. Allah S.W.T. telah menjanjikan ganjaran yang istimewa seperti keampunan kepada mereka yang mengerjakan solat sunat ini.
Solat sunat ini tergolong dalam sunat muakkad dan digalakkan untuk mengerjakannya. Ia boleh dilakukan secara bersendirian di rumah mahupun berjemaah di surau ataupun masjid. Perkataan ‘tarawih’ berasal daripada perkataan ( تَرْوِيحَة ) yang bermaksud berehat. Jadi, solat sunat ini dinamakan Solat Tarawih kerana orang yang mengerjakan solat sunat ini akan berehat di setiap empat rakaat. Oleh sebab itu, solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’. Tujuan ‘berehat seketika’ dalam konteks ini adalah untuk memperolehi keikhlasan dan memberi ketenangan kepada mereka yang melaksanakan solat sunat ini, khususnya bagi warga emas supaya dapat mengelakkan ketegangan badan selepas mereka berbuka puasa.
Solat Tarawih

Apakah hukum Solat Tarawih?
Solat Tarawih adalah solat sunat muakkad yang sangat dituntut dalam Islam. Solat sunat ini hanya dilakukan dalam bulan Ramadan sahaja. Rasulullah S.A.W sendiri sangat menggalakkan umatnya untuk solat pada malam bulan Ramadan. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
“Sesiapa yang melakukan solat malam (Tarawih) pada Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan dan keampunan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu”
(Hadis riwayat Muslim)
Selain itu, solat sunat ini juga dikatakan sebagai satu ibadah qiamullai yang sangat digalakkan untuk dikerjakan pada bulan Ramadan sehinggakan nabi sendiri menggelarkannya ‘qiam ramadan’.
Bilakah waktu mengerjakan solat sunat ini?
Waktu untuk mengerjakan solat sunat ini adalah selepas Solat Sunat Ba’diyyah Isyak sehinggalah terbit fajar. Solat sunat ini hendaklah dilakukan dengan dua rakaat dan satu salam. Adalah dianjurkan untuk anda mengerjakan solat tarawih ini secara berjemaah kerana ganjaran pahala yang didapati sungguh besar.
Berapakah bilangan rakaat pada solat sunat ini?
Sebenarnya, ada beberapa pendapat berbeza dari segi jumlah rakaat solat Tarawih seperti 8 rakaat, 20 rakaat dan 36 rakaat. Rasulullah S.A.W. tidak pernah menetapkan bilangan rakaat yang perlu dilakukan bagi solat sunat ini. Solat Sunat Tarawih adalah ibadah tambahan yang harus dilakukan dalam keadaan tenang. Ia adalah satu cara untuk menunjukkan keikhlasan dan ketaatan kepada Allah S.W.T.
Jadi, jika anda tidak mampu mengerjakan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat, anda boleh mengerjakannya 8 rakaat sahaja. Biasanya, Solat Tarawih ini akan diakhiri dengan Solat Sunat Witir.

Bagaimanakah mengerjakan Solat Tarawih?
1. Niat
Semasa anda mengangkat takbir, bacakan niat solat sunat ini di dalam hati.
Jika anda solat bersendirian, bacaan niatnya seperti di bawah:

Usolli Sunnatat-Tarawih Rak’ataini Lillahi Taala
Maksud: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala.
Jika anda solat berjemaah, bacaan niatnya seperti di bawah:

Usolli Sunnatat-Tarawih Rak’ataini Makmuman Lillahi Taala
Maksud: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah
Selepas mengangkat takbir, anda disarankan untuk membaca Doa Iftitah.

3. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah
Selesai membaca Doa Iftitah, anda boleh membaca Surah Al-Fatihah.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
Maksud:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat), Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, Tunjukilah kami jalan yang lurus, Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
4. Rakaat Pertama- Surah Al-Kafirun
Kemudian, anda boleh memilih mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antaranya Surah Al-Kafirun.

Qul Yā Ayyuhal-Kāfirūn. Lā A‘Budu Mā Ta‘Budūn. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Wa Lā Ana ‘Ābidum Mā ‘Abattum. Wa Lā Antum ‘Ābidūna Mā A‘Bud. Lakum Dīnukum Wa Liya Dīn
Maksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.
5. Rukuk
Selesai membaca surah Al-Kafirun, anda boleh teruskan dengan rukuk seperti biasa.
6. Bangun Iktidal
Selepas itu, anda bangun iktidal (berdiri tegak) sambil membaca bacaan yang biasa dibacakan seperti solat fardu.
7. Sujud Pertama
Kemudian, bersujudlah seperti sujud kebiasaannya sambil membaca bacaannya.
8. Duduk Antara Dua Sujud
Dalam posisi ini, anda hendaklah membaca bacaan seperti kebiasaannya di dalam solat fardu.
9. Sujud Kedua
Lakukan sujud kedua sepertimana kebiasaannya.
10. Duduk Istirahat
Sebelum anda bangun untuk menyempurnakan rakaat kedua, anda duduk seketika dalam 3 saat sebelum bangun untuk rakaat seterusnya.
11. Rakaat Kedua- Surah Al-Fatihah
Usai anda mengangkat takbir, mulakan rakaat kedua ini dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Bismillāhir-raḥmānir-raḥīm. Al-ḥamdu lillāhi rabbil-‘ālamīn. Ar-raḥmānir-raḥīm. Māliki yaumid-dīn. Iyyāka na‘budu wa iyyāka nasta‘īn. Ihdinaṣ-ṣirāṭal-mustaqīm. Sirāṭallażīna an‘amta ‘alaihim, ghairil-magḍūbi ‘alaihim wa laḍ-ḍāllīn
Maksud:
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat), Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, Tunjukilah kami jalan yang lurus, Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
12. Rakaat Kedua- Surah Al-Ikhlas
Selepas surah Al-Fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antaranya adalah Surah Al-Ikhlas.

Qul Huwallāhu Aḥad. Allāhuṣ-Ṣamad. Lam Yalid Wa Lam Yūlad. Wa Lam Yakul Lahū Kufuwan Aḥad
Maksud:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
13. Rukuk
Selesai membaca surah Al-Ikhlas, anda boleh teruskan dengan rukuk seperti biasa.
14. Sujud Pertama
Setelah rukuk, anda boleh teruskan sujud seperti biasa.
15. Duduk Antara Dua Sujud
Dalam posisi duduk ini, anda hendaklah membaca bacaan seperti kebiasaannya di dalam solat fardu.
16. Sujud Kedua
Lakukan sujud kedua seperti kebiasaannya.
17. Duduk Tahiyyat Akhir
Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Ketika ini, anda haruslah membaca bacaan Tahiyyat Akhir
18. Salam
Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.
Nota 1: Selesai memberi salam pada rakaat kedua, anda boleh terus bangun untuk mengerjakan rakaat seterusnya atau membaca selawat Taradhi terlebih dahulu sebelum bangun mengerjakan rakaat seterusnya.
Nota 2: Untuk mengerjakan rakaat seterusnya (3 dan 4, 5 dan 6, 7 dan 8), tatacara mengerjakannya adalah lebih kurang sama dengan langkah 1 hingga 18 di atas.
Nota 3: Selepas selesai 4 rakaat, anda disunatkan untuk membaca Doa Antara Tarawih sebelum mengerjakan 4 rakaat terakhir dalam solat sunat ini. Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma inna nas aluka ridho ka wal jannah wa na u’zubika min saKhoTika wannar. Allahumma innaka affuwwu karimun tuhibbul afwa fagfu anna wa an waa lidinaa wa an jami’il muslimina wal muslimat, birahmatika ya arhamarrohimin. Wasollollah ‘ala sayyidina muhammadin wa ‘ala Alihi wasohbihi wabaroka wasallam
Maksud:
Dengan nama Tuhan, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, semoga kami mendapat keredhaanMu dan syurgaMu, dan kami berlindung kepadaMu dari murka dan api nerakaMu. Ya Allah, engkaulah maha pengampun yang murah hati, Maha Melindungi, jadi ampunkan kami, ibu bapa kami, dan semua muslimin dan muslimat, demi Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dari Allah kepada ketua kita Nabi Muhammad, keluarga, sahabat baginda, dan keberkatan dan kedamaiannya.
19. Doa Selepas Solat Terawih
Selepas anda selesai memberi salam pada rakaat solat tarawih yang terakhir, bacalah doa ini:

Maksud:
Segala puji untuk Allah Tuhan sekalian alam, sebagai pujian yang menyempurnakan nikmatNya dan mencukupkan pertambahannya. Wahai Tuhan kami, bagiMu pujian seperti yang selayakNya dan kemudian ZatMu dan kebesaran pemerintahanMu. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad dan keluarga serta sahabat-sahabatNya.
Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah iman kami iman yang sempurna. Segala kewajipan zakat kami laksanakan dan segala apa yang ada di sisiMu kami pohonkan dan keampunanMu kami harapkan. Kami berpegang dengan petunjukMu dan menjauhi perkara yang sia-sia, zuhud dengan dunia dan cinta akhirat, redha dengan ketentuanMu, bersyukur dengan nikmat-nikmatMu, dan bersabar dengan bala bencana.
Kami berlindung di bawah panji-panji Nabi Muhammad pada hari kemudian, kami berkehendak kepada perlindunganMu dan dapat memasuki syurgaMu dan duduk di atas katil yang mulia (di syurga), berkahwin dengan bidadari-bidadari dan memakai perhiasan-perhiasan di syurga, memakan makanan di Syurga, minum susu dan madu yang suci dari gelas-gelas yang indah bersama mereka yang telah Engkau beri nikmat daripada golongan nabi-nabi, rasul-rasul, para syuhada dan orang soleh. Ya Allah, jadikan kami pada malam yang mulia dan penuh keberkatan ini daripada orang yang berbahagia kerana diterima amalannya, dan janganlah jadikan kami orang yang berdukacita kerana ditolak amalan kami.
Ya Tuhan kami, afiatkan kami dan berikan kami keafiatan, Ya Tuhan kami, ampuni kami, ibu bapa kami, saudara-saudara kami, suami/isteri kami dan guru-guru kami dan mereka yang kami ajarkan, dan mereka yang mempunyai hak ke atas kami, dan mereka yang mencintai kami dan berbuat baik kepada kami, dan mereka yang membimbing kami dan yang kami bimbing kepada kebaikan, dan mereka yang berwasiat kepada kami dan yang kami wasiatkan dengan doa, dan seluruh muslimin dan muslimat.
Dan Ya Allah, tulislah keselamatan dan keampunan untuk kami dan ke atas hamba-hambaMu yang terdiri daripada para jemaah haji dan umrah, peniaga-peniaga, orang yang berziarah, musafir-musafir dan orang yang bermukim, di darat atau di laut daripada orang Islam. Dan jauhkan kami daripada orang yang zalim, dan bantulah kami menghadapi ke atas orang kafir, wahai Tuhan yang memperkenankan orang yang bermohon. Dan sempurnakanlah untuk kami wahai Tuhan kami daripadaMu dengan kebaikan wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada segala segala yang mengasihani. Selawat dan salam ke atas sebaik-baik kejadian, Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya dan Sahabat-sahabatnya, dan segala puji untuk Allah Tuhan sekalian alam
20. Solat Sunat Witir
Menjadi kebiasaan di negara kita solat sunat witir akan didirikan selepas selesai solat sunat tarawih. Solat witir boleh dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat, tetapi sekurang-kurangnya bagi had yang sempurna ialah tiga rakaat (dua salam).
Jika anda solat Tarawih secara berjemaah, maka sebelum solat sunat witir dimulakan, bilal akan memberitahu para jemaah dengan lafaz:

Solatul Witri Asa Bakumullah
Maksudnya: Didirikan solat witir diberikan oleh Allah ganjaran pahala
Untuk Solat Sunat Witir
Nota: Anda boleh layari Solat Sunat Witir untuk penerangan yang lebih lanjut.
Cara Mengerjakan Solat Sunat Witir:
1. Niat
Anda haruslah berniat untuk mengerjakan Solat Sunat Witir.

Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat kerana Allah Taala
2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah
Selepas Takbiratul Ihram, anda hendaklah membaca doa Iftitah.

3. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah
Sesudah bacaan doa Iftitah, anda perlu membaca surah Al-Fatihah.

4. Rakaat Pertama- Surah Al-Kafirun
Sesudah itu, bacalah pula surah daripada surah al-Quran. Anda boleh membaca mana-mana surah selepas Al-Fatihah. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Kafirun:

5. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Kafirun, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
6. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
7. Rakaat Kedua- Surah Al-Fatihah
Apabila anda bangun untuk masuk di rakaat kedua, anda perlu memulakannya dengan surah Al-Fatihah.

8. Rakaat Kedua- Surah Al-Ikhlas
Usai surah Al-Fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Ikhlas seperti di bawah.

9. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Ikhlas, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
10. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
11. Duduk Tahiyyat Akhir
Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Ketika ini, anda haruslah membaca bacaan Tahiyyat Akhir.
12. Salam
Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri. Setelah selesai memberi salam pada rakaat kedua, anda terus bangun dan berdiri untuk lakukan rakaat seterusnya, iaitu rakaat ketiga (rakaat terakhir).
13. Rakaat Ketiga- Rakaat Terakhir
Untuk mulakan rakaat ketiga, anda haruslah berniat untuk mengerjakan solat sunat witir seperti di bawah:

Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala
14. Doa-Iftitah
Sama seperti rakaat pertama tadi, dimulai dengan doa Iftitah.

15. Rakaat Ketiga- Surah Al-Fatihah
Sesudah anda membaca doa Iftitah, bacalah Surah Al-Fatihah.

16. Surah Selepas Surah Al-Fatihah
Untuk bahagian rakaat yang ketiga, biasanya anda boleh membaca 3 surah ringkas selepas Surah Al-Fatihah. Oleh itu, anda boleh baca surah Al-Ikhas, Surah Al-Falaq dan surah An-Nas seperti di bawah:
(I) Surah Al-Ikhlas:

Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”
(II) Surah Al-Falaq

Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menguasai Subuh, Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya”.
(III) Surah An-Nas

Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.
17. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah-surah tersebut, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
18. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
19. Duduk Tahiyyat Akhir
Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Ketika ini, anda harus membaca bacaan Tahiyyat Akhir.
20. Salam
Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.
21. Zikir
Selepas memberi salam, anda disunatkan untuk berzikir terlebih dahulu. Anda boleh berzikir seperti di bawah:

Subhanal Malikil Quddus (3 kali)
Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang Maha Suci
22. Wirid
Selepas itu, anda baca pula wirid ini:

Rabbil Mala’ Ikati War Ruh
Maksudnya: Tuhannya para malaikat dan malaikat jibril
23. Doa Solat Sunat Witir
Selepas wirid, anda boleh membaca doa di bawah untuk mengakhiri solat sunat anda.

Allahumma Inni ‘Auzu Biridhoka Min Sakhotika Wa Bimu’Aafatika Min ‘Uqubatika Wa ‘Auzubika Minka Laa Uhsii Tsana’an ‘Alaika Anta Kama Atsnaita ‘Alaa Nafsika.
Maksudnya:
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, aku berlindung dengan kemaafanMu daripada BalasanMu, dan aku berlindung denganMu daripada tidak mampu memujiMu seperti Engkau memuji diriMu.
Begitulah salah satu tatacara Solat Sunat Tarawih. Diharapkan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda dan semoga amalan kita ini diterima oleh Allah s.w.t. Amin. Selamat beribadah!
Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.