Cuti Khas Mengundi 18 November 2022? – Bagi Persediaan Balik Kampung

Pada 19 November 2022 ini, kita akan menjalani Pilihan Raya yang ke-15 bagi menentukan barisan tampuk pemerintahan yang bakal menerajui Malaysia pada tahun hadapan. Tarikh ini adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk balik mengundi di kampung halaman masing-masing. 

BannerTarikh-PRU
Kredit Gambar: spr.gov.my

Terkini, CUEPACS menggesa kerajaan untuk memberi cuti umum khas pada 18 November Ini, iaitu sehari sebelum mengundi bagi memberi laluan kepada para pengundi untuk pulang ke kampung halaman untuk membuang undi. Tindakan ini dilihat sebagai salah satu cara untuk meningkatkan jumlah pengundi yang turun untuk mengundi pada Pilihan Raya ke-15 nanti.

Menurut presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, cuti umum tambahan sehari lebih awal ini patut diberikan kerana ramai rakyat Malaysia yang mengundi di luar kawasan tinggal atau bekerja. Katanya lagi, walaupun hari mengundi jatuh pada hujung minggu, tetapi ada dalam kalangan pengundi yang perlu membuat perjalanan jauh ke kampung halaman hanya untuk membuang undi. 

Balik-Mengundi-

Sepertimana mereka yang tinggal di Semenanjung disebabkan faktor kerja, penduduk Labuan, Sabah dan Sarawak memerlukan masa untuk pulang ke kampung halaman bagi membuang undi. Hal ini kerana mereka yang tinggal di kawasan pendalaman mungkin memerlukan masa lebih daripada 4 jam untuk pulang ke kampung dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

CUEPACS menggesa kerajaan untuk memberi cuti khusus sehari awal kerana bimbang ada majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka untuk pulang mengundi ke lokasi mengundi walaupun para pekerja boleh mengambil cuti tahunan untuk hal ini.

Balik-Mengundi-

Menurut beliau lagi, pilihan raya merupakan acara lima tahun sekali dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi adalah perlu bagi setiap rakyat Malaysia. Dengan adanya cuti umum pada 18 November ini, urusan kebanyakan pengundi menjadi lebih lancar sekali gus dapat menjalankan tanggungjawab mengundi dengan lebih baik.

Disebabkan hari mengundi jatuh pada hari Sabtu, iaitu hujung minggu, kebanyakan tiket bas dan juga penerbangan hampir habis kerana ramai yang akan pulang untuk mengundi nanti. CUEPACS juga menggesa agar syarikat penerbangan dan pengangkutan tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan tambang bagi rakyat Malaysia balik mengundi.

Oleh sebab itu, pihak CUEPACS berharap agar kerajaan dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang menaikkan tambang penerbangan untuk penerbangan di Sememnanjung, Labuan, Sabah dan Sarawak sewaktu mengundi.

Seperti mana syarikat penerbangan lain, kebanyakan syarikat penerbangan dan pengangkutan telah menggandakan operasi perjalanan pada 18 November sehingga 21 November bagi memberi laluan kepada mereka yang pulang untuk mengundi.

Balik-Mengundi-

Menurut Ketua Pegawai Operasi MASwings, Kapten Nasaruddin A Bakar, MASwing menawarkan tambang penerbangan balik mengundi sempena Pilihan Raya ke-15 menerusi promosi ‘Jom Balik Undi’ dengan tambang serendah RM 135 sehala. Tambah beliau lagi, tempahan tiket penerbangan dibuka pada 1 November sehingga 30 November ini dengan tarikh penerbangan sehingga 31 Disember depan.

Bagi menampung jumlah pengundi yang balik mengundi, MASwings juga menambah penerbangan bagi memenuhi peningkatan permintaan yang dijangka di beberapa kawasan di Sabah, Sarawak dan Labuan. Diharapkan dengan adanya peningkatan operasi pengangkutan, ramai pengundi boleh pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab mereka bagi Pilihan Raya ke-15 ini.

Cuti sehari sebelum mengundi sebenarnya amat membantu para pengundi untuk membuat perancangan perjalanan ke kampung halaman dengan teliti. Bukan sahaja ia boleh melancarkan perjalanan, juga ia memberi masa kepada para pengundi untuk pulang ke kampung pada masa yang ditetapkan untuk mengundi.

Selain itu, ia juga membolehkan para pengundi untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan pulang ke kampung sebelum mengundi. Mengundi adalah amat penting bagi mencorakkan rentak pemerintahan Malaysia pada masa akan datang. Jadi, bersediakah anda untuk mengundi?


Sumber: berita harian.

Apa pendapat anda? Dah baca, share dan like, ok!

Perhatian: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Jadi, segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.

Advertise With My Weekend Plan
Close
© Copyright 2023 by My Weekend Plan. All Rights Reserved.
Close