Awal minggu ini, heboh di laman sosial dengan tindakan beberapa pelajar B40 yang menjual Peranti Siswa yang diberi kepada mereka di sebuah laman iklan yang dikenali juga sebagai pasaran dalam talian. Tindakan beberapa pelajar tersebut telah dikritik dan dikecam oleh warganet di Facebook.
Menerusi tangkap layar yang dikongsi oleh pengguna laman sosial media Facebook, B40 Buat Perangai Apa Hari Ini, pelajar tersebut ingin menjual tablet peranti siswa kerana beliau tidak menggunakan tablet tersebut, malah ingin ‘upgrade’ kepada iPad atas sebab keperluan untuk penulisan dan nota yang banyak. Melihat alasan pelajar tersebut, warganet tidak berpuas hati kerana hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana tablet diberi seharusnya membantu pelajar, bukannya untuk dijual.
Samsung Tab A8 yang diberi oleh pihak kerajaan juga mampu memberi banyak kelebihan kepada pengguna, terutama sekali untuk kemudahan pelajar dari segi pembelajaran, pembentangan, penulisan nota dan sebagainya.

Seorang siswa pula turut menjual tablet tersebut dengan harga RM800 di laman iklan yang sama. Namun alasannya pula ialah kerana pelajar tersebut mempunyai iPad dan tidak menggunakan langsung peranti yang diberi ini. Jika dilihat dengan alasan yang diberi, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana untuk mendapatkan peranti siswa ini perlu membuat permohonan dan jika lulus, maka pelajar tersebut akan diberi tablet atas kegunaan yang sepatutnya yang dikehendaki oleh pihak kerajaan dan bukanlah untuk dijual.
Peranti Siswa atau Program Peranti Siswa Keluarga Malaysia adalah satu program yang dibangunkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia pada awal tahun ini. Perkembangan pelajaran merupakan salah satu elemen penting dalam menyediakan negara ke arah kemajuan. Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil pendekatan untuk menyediakan peranti ini kepada mahasiswa di Institusi Pendidikan tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok golongan B40 bagi memastikan proses pembelajaran mereka terus dipelihara. Pemberian tablet ini diharapkan dapat menjadi penerus kelangsungan para pelajar dalam mengejar cita-cita dan meningkatkan ilmu pengetahuan pada bila-bila masa sahaja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata jenama dan model gajet ini yang ditawarkan oleh syarikat Samsung boleh menyokong pengguna kas sim rangkaian 4G dan LTE. Kemudahan ini seharusnya diguna pakai dengan sebaiknya oleh para pelajar berkenaan.
Ramai netizen yang tidak puas hati dan hampa dengan tindakan pelajar terbabit kerana diibaratkan bagaikan kacang lupakan kulit. Seharusnya tindakan seperti ini tidak berlaku kerana masih ramai lagi pelajar yang betul-betul memerlukan tablet ini untuk pembelajaran.

Menurut komen-komen di atas, pengguna laman sosial memberi komen dan kritikan yang menunjukkan mereka tidak berpuas-hati dan mempersoalkan tindakan pelajar yang menjual peranti tersebut. Tindakan menjual gajet tersebut hanya untuk menukarnya dengan iPad dilihat tidak munasabah kerana gajet-gajet ini berfungsi dengan baik seperti iPad untuk tujuan pembelajaran. Hasil daripada carian kami, iklan penjualan gajet tersebut telah dimuat turun oleh para pelajar dek kerana kecaman yang diterima daripada warganet.

Terkini, YB Syed Saddiq menegur tindakan para pelajar berkenaan yang dilihat seperti tidak bertanggungjawab kerana ingin menjual tablet yang kerajaan berikan secara percuma untuk kemudahan pembelajaran. Menerusi hantaran Twitternya, YB Syed Saddiq menegaskan bahawa tindakan tersebut dilihat tidak berintegriti kerana ada pelajar lain yang lagi memerlukan bantuan gajet daripada kerajaan ini.
Berikut adalah komen yang dimuat naik oleh beliau awal minggu ini:
“Janganlah jual, Kerajaan dah bagi guna dan ramai lagi yang memerlukannya. 1/3 pelajar di Malaysia tiada gajet. 1/2 pelajar di Sabah dan Sarawak pun tiada.”
Menurut beliau lagi, jika ada pelajar yang tidak memerlukan peranti tersebut atau berkemampuan mendapatkan gajet yang lebih canggih, pelajar tersebut boleh memulangkan kembali gajet yang diperolehi ini supaya ia dapat memberi peluang kepada mereka yang lebih memerlukan.
Tindakan ini merupakan salah satu tindakan yang tidak seharusnya dilakukan oleh para pelajar yang menerima bantuan Peranti Siswa kerana ia dilihat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab. Tablet peranti siswa ini mampu untuk menampung keperluan pembelajaran para pelajar dan sepatutnya yang memohon peranti ini adalah yang memerlukannya untuk pembelajaran, oleh sebab itu tiada sebab untuk dijual mahupun ditukar kepada peranti lain. Pihak kami berharap semoga inisiatif yang dibuat oleh pihak kerajaan ini mampu membantu pelajar dalam pembelajaran lebih-lebih lagi di aras pemodenan ini. Apa pendapat anda?
Sumber: kosmo.com.my / facebook.com / bharian.com / facebook.com/mkhairulazri / Syed Saddiq Instagram
Apa pendapat anda? Dah baca, share dan like, ok!
Perhatian: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Jadi, segala komen adalah hak dan tanggungjawab pembaca sendiri.