Perkahwinan merupakan ikatan dua jiwa dalam hidup ini. Sebelum menempuh alam perkahwinan, terdapat beberapa langkah yang perlu ditempuhi oleh bakal pengantin seperti merisik dan bertunang. Perkahwinan bukan sahaja melibatkan penyatuan dua jiwa tetapi ia juga menandakan ikatan antara dua buah keluarga yang terjalin.
Oleh sebab itu, amat penting bagi kedua belah pihak mengenali hati budi masing-masing. Dengan adanya proses merisik, si jejaka dapat mengetahui status gadis pujaannya sebelum meneruskan proses yang seterusnya iaitu bertunang.
Mengapakah cincin penting dalam urusan sebegini?
Cincin penting dalam urusan sebegini adalah untuk memberitahu orang sekeliling bahawa si gadis sudah berpunya. Ia juga sebagai tanda si dara itu sudah dimiliki dan bakal menjadi isteri orang tidak lama lagi.
Oleh sebab itulah, cincin itu penting dalam urusan sebegini. Ia bukan sahaja sebagai tanda pengikat, malah ia juga dilihat sebagai perubahan status si gadis daripada solo kepada sudah berpunya. Berikut adalah jenis cincin yang ada dalam adat perkahwinan Melayu.
Jenis cincin dalam Adat Perkahwinan Melayu
1. Cincin Tanda atau Risik

Bagi adat Melayu, merisik merupakan langkah permulaan yang dilakukan oleh keluarga pihak lelaki untuk mengetahui sama ada si gadis sudah berpunya ataupun belum. Biasanya, rombongan merisik pihak lelaki diwakili oleh ibu bapa ataupun saudara terdekat.
Cincin tanda akan dibawa bersama rombongan merisik sewaktu mereka bertandang ke rumah si gadis. Cincin tanda ini dianggap sebagai simbol ‘bertanya’ kepada pihak perempuan tentang status si gadis pujaan hati. Bagi sebelah pihak perempuan pula, biasanya ibu bapa si gadis dan saudara terdekat yang akan menghadiri acara merisik ini. Cincin tanda atau cincin risik ialah cincin belah rotan, iaitu cincin yang sedikit lebar dan tidak terletak permata.
Aktiviti berbalas pantun akan berlaku dalam kalangan kedua belah pihak bagi menanyakan status si gadis secara berkias. Jika si gadis bersetuju dengan risikan ini, maka ibu si jejaka akan menyarungkan cincin tanda ini ke jari si gadis tanda si gadis bakal menjadi menantunya.
2. Cincin Tunang

Untuk makluman anda, ada juga pihak si gadis dan si jejaka yang tidak mahu melalui proses merisik kerana mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Jadi, mereka terus sahaja kepada upacara pertunangan bagi menjimatkan masa dan juga wang. Di sini, pihak lelaki akan menyediakan cincin tunang untuk si gadis sebagai tanda pengikat kasih. Ini bermaksud, semasa tempoh mereka bertunang, si gadis tidak boleh dipinang oleh mana-mana lelaki lain kerana dia sudah menjadi calon isteri kepada si jejaka tadi.
Cincin bertunang ini dikatakan lebih cantik daripada cincin merisik. Jika tahun 90-an dahulu, cincin bertunang dikatakan lebih lebar sedikit daripada cincin merisik namun kini zaman telah berubah. Pelbagai jenis cincin menarik berada di pasaran yang sesuai dijadikan cincin tunang. Zaman kini, ramai yang memilih cincin tunang yang mempunyai permata, tidak kira ia terdiri daripada emas putih mahupun emas. Cincin jenis ini dikenali sebagai ‘Eternity Ring’.
3. Cincin Nikah

Perkahwinan adalah ikatan antara dua jiwa untuk sepanjang hayat. Untuk cincin nikah, biasanya pihak lelaki akan memberikan cincin yang lebih mahal dan cantik daripada cincin tunang. Cincin ini dikenali sebagai ‘Solitaire Ring’. Selain mahal, cincin nikah juga terdiri daripada batu permata seperti berlian yang banyak mahupun sedikit, bergantung kepada cita rasa si mempelai.
Ada juga pasangan mempelai yang menempah khas cincin perkahwinan mereka untuk sedondon dengan pasangannya. Kebanyakannya cincin seperti ini terdiri daripada emas putih untuk si isteri dan perak untuk di suami. Jika si isteri tidak mahu cincin, si suami boleh juga menggantikannya dengan rantai leher, anting-anting mahupun gelang bagi tujuan ini.

Begitulah peri pentingnya cincin sebagai tanda dalam perkahwinan masyarakat Melayu. Tanpa kehadiran cincin di jari, status si dara tidak dapat dikenal pasti. Oh ya, tentang pemakaian cincin risik, nikah ataupun tunang, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang memakai cincin tunang dan cincin risik di jari manis sebelah kanan, ada juga yang memakai cincin tunang di jari manis kanan dan cincin risik di belah jari kiri. Semua bergantung kepada keselesaan si pemakai.
Diharapkan ikatan perkahwinan yang bakal dibina berkekalan sehingga akhir hayat. Perkongsian kali ini bukan sahaja bercerita tentang peranan setiap jenis cincin, tetapi kepentingannya dalam perkahwinan Melayu. Semoga perkongsian kali ini dapat memberikan manfaat buat anda.
Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.