Solat Sunat Dhuha atau dikenali sebagai Solat Awwabin merupakan solat sunat yang dikerjakan selepas waktu syuruk, iaitu 40-48 minit selepas waktu matahari terbit sehinggalah 10 minit sebelum masuk waktu Zohor. Sebagai contoh, anda boleh mengerjakan solat sunat ini pada jam 9.00 pagi sehinggalah 12.45 tengah hari.
Untuk pengetahuan anda, cara mengerjakan solat sunat ini mudah sahaja. Anda boleh mengerjakan Solat Sunat Dhuha ini sebanyak 2, 4, 6 atau 8 rakaat dengan setiap 2 rakaat 1 salam. Adakah anda tahu bahawa Solat Sunat Dhuha ini merupakan salah satu solat sunat yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W? Benar! Rasulullah S.A.W. pernah mendirikan Solat Sunat Dhuha sebanyak 8 rakaat pada hari pembukaan kota Makkah. Selain itu, solat sunat ini juga dikatakan salah satu cara membuka rezeki yang luas dalam hidup seseorang. Jom, kita amalkannya!
Apakah manfaat mengerjakan Solat Sunat Dhuha?

Untuk pengetahuan anda, terdapat banyak fadilat dalam mengerjakan solat sunat ini seperti di bawah:
- Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat Dhuha dengan istiqamah nescaya akan diampuni dosanya olleh Allah sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan.”
- Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan ‘Dhuha’. Maka apabila tiba hari kiamat kelak, berserulah (malaikat) penyeru: “Manakah orang-orang yang telah mengamalkan solat Dhuha; Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam syurga dengan Rahmat Allah.” (HR At-Tabrani)
- Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadits lain dari Nuwas bin Sam’an, “Allah berfirman: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat raka’at pada permulaan siang (Solat Dhuha), nanti pasti akan Ku cukupkan keperluanmu sampai ke petang harinya.” (HR. Haklim dan Tabrani).
Bagaimanakah mengerjakan Solat Sunat Dhuha?
1. Niat
Anda haruslah berniat untuk mengerjakan Solat Sunat Dhuha.

2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah
Selepas Takbiratul Ihram, anda hendaklah membaca doa Iftitah.

3. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah
Sesudah bacaan doa Iftitah, anda perlu membaca surah Al-Fatihah.

4. Rakaat Pertama- Surah Al-Syams
Sesudah itu, Surah Al-Fatihah harus diikuti dengan Surah Al-Syams. Untuk pengetahuan anda, anda boleh membaca surah-surah lain seperti Surah Al-Kafirun, untuk menggantikan surah Al-Syams. Kami mencadangkan surah Al-Syams kerana ia adalah salah satu surah yang dianjurkan oleh para ulama.

Maksud surah:
Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata; Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh – yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya);Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Ingatlah), kaum Thamud telah mendustakan (Rasulnya) dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas; Ketika orang yang paling jahat di antara mereka menerima perintah dari mereka (supaya membunuh unta yang menjadi mukjizat), Maka berkatalah Rasul Allah (Nabi Soleh) kepada mereka: ” (Janganlah kamu ganggu) unta betina dari Allah itu, dan (janganlah kamu menyekatnya daripada mendapat) air minumnya (supaya kamu tidak ditimpa azab)!” (Setelah Nabi Soleh memberi amaran) lalu mereka mendustakannya serta menyembelih unta itu. Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Ia meratakan azab itu meliputi mereka (sehingga punah-ranah semuanya). Dan Allah tidak hiraukan kesudahan (mereka) yang demikian, (kerana itu adalah balasan yang adil).
5. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Syams, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
6. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
7. Rakaat Kedua- Surah Al-Fatihah
Apabila anda bangun untuk masuk di rakaat kedua, anda perlu memulakannya dengan surah Al-Fatihah

8. Rakaat Kedua- Surah Al-Dhuha
Usai surah Al-Fatihah, ia harus diikuti dengan Surah Al-Dhuha seperti di bawah. Selain Surah Al-Dhuha, anda boleh juga membaca Surah Al-Ikhlas untuk menggantikannya.

Maksud Surah:
Demi waktu dhuha, Dan malam apabila ia sunyi-sepi -(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati. Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
9. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Ikhlas, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
10. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa. Pada sujud kedua, anda boleh membaca ayat di bawah sebanyak 40 kali. Namun, jika anda tidak membacanya, solat anda tetap sah kerana bacaan ayat ini adalah sunat.

Maksudnya:
Berikan kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah dan murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan Yang Maha Pemberi Rezeki jadikan ia mudah bagiku.
11. Duduk Tahiyyat Akhir
Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai.
12. Bacaan Tahiyyat Akhir
Berikut adalah bacaan tahiyyat. Bacaan ini hendaklah disambung dengan bacaan selawat ke atas Nabi Muhammaf S.A.W.

13. Selawat Ke Atas Nabi Dalam Tahiyat Akhir
Sepertimana yang dinyatakan di atas, bacaan tahiyyat perlu diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W seperti di bawah:

14. Salam
Salam ialah ucapan atau lafaz salam yang merupakan sebahagian daripada rukun solat. Untuk lebih sempurna, ucapannya ialah ‘Assalamualaikum warahmatullah’ yang membawa maksud “Sejahtera kepada kamu semua dan semoga dirahmati Tuhan”.
15. Tasbih
Selepas anda memberi salam, bacalah tasbih ini sebanyak 10 kali.

Maksudnya:
Maha Suci Allah, segala puji hanya bagi Allah, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Allah Yang Maha Besar. Dan tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah Yang Maha Agung, sebanyak bilangan ciptaan Allah dan selama mana kekalnya kekuasaan Allah.
16. Doa Selepas Solat Sunat Dhuha
Selepas anda memberi salam, anda boleh membaca doa di bawah untuk solat sunat ini:

Nah, itu dia langkah-langkah ringkas untuk Solat Sunat Dhuha. Diharapkan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Selamat beribadah!
Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.