Solat Sunat Rawatib

Tahukah anda bahawa kita mempunyai solat sunat sebelum dan selepas solat fardu? Ya, itulah yang dinamakan sebagai Solat Sunat Rawatib. Solat sunat ini diertikan sebagai solat sunat 2 rakaat yang mengiringi solat fardu, sama ada sebelum atau selepas solat fardu. 

Solat Sunat Rawatib ini terbahagi kepada dua, iaitu Solat Sunat Qabliyyah, iaitu solat sunat sebelum solat fardu dan juga Solat Sunat Ba’diyyat, iaitu solat sunat selepas solat fardu. Dalam kitab Mughni Al-Muhtaj, solat sunat ini juga disebut sebagai solat yang mempunyai waktu kerana waktu pelaksanaanya merupakan waktu bagi melakukan solat fardu.

Solat Sunat Rawatib

Bilakah solat sunat ini dijalankan?

Solat Sunat ini dijalankan sebaik sahaja masuknya solat fardu dan berterusan waktunya sehingga habis solat fardu. Solat Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja termasuklah mereka yang bermusafir yang mendirikan solat fardu secara qasar. Selain itu, solat sunat ini juga perlu didirkan secara bersendirian, dan bukannya berjemaah.

Apakah hukum solat sunat ini?

Solat sunat ini hukumnya terbahagi kepada dua, iaitu muakkad dan juga bukan muakkad. Muakkad bermakssud solat sunat itu amat digalakkan untuk mengerjakannya kerana Rasulullah S.A.W. tidak pernah meninggalkan solat sunat tersebut sepanjang hayat Baginda. Manakala solat sunat bukan muakkad pula adalah solat sunat yang baik jika dilakukan. Solat sunat rawatib ini menjadi amalan kebiasaan Rasulullah SAW yang mana kadangkala Baginda melakukannya dan kadangkala Baginda meninggalkannya. 

Dalam kitab Radd al-Mukhtar, Ibn Abidin berkata sunnah merupakan sesuatu yang menjadi konsistensi dan kebiasaan buat Rasulullah S.A.W. Jika sunat itu tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda, maka ia adalah sunat muakkad. Sebaliknya jika sunnah itu adakalanya ditinggalkan oleh Rasulullah, maka ia sunnah bukan muakkad.

Solat-Sunat-Rawatib
Kredit Gambar:akuislam.com

Lafaz niat Solat Sunat Rawatib

Solat sunat Rawatib ini dikerjakan seperti solat sunat lain kecuali yang berbezanya adalah niat. Berikut adalah niat untuk setiap solat sunat ini.

1. Solat Sunat Qabliyah Subuh

Solat rawatib di waktu fardu subuh dikerjakan sesudah azan subuh (sebelum iqamat) sebanyak dua rakaat. Berikut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ الصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatas-Subhi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksud: Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.

***Tiada Solat Sunat Rawatib selepas fardu subuh.

2. Solat Sunat Qabliyah Zohor

Solat sunat ini dikerjakan sebaik sahaja azan Zohor berkumandang. Berikut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksud: Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala

*** Selesai solat sunat, barulah kerjakan solat Zohor.

3. Solat Sunat Ba’diyyah Zohor

Selepas selesai mengerjakan solat Zohor, anda boleh terus menunaikan solat sunat ini. Berikut adalah lafaz niatnya:

أُصَلِّي سُنَّةَ الظُّهْر رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnataz-Zuhri Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksud: Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala

4. Solat Sunat Qabliyah Asar

Sebelum mengerjakan solat Asar, anda boleh mengerjakan salat sunat ini sebaik sahaja masuk waktu Asar. Berkut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ العَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal ‘Asri Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksud: Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala

*** Tiada Solat Sunat Rawatib selepas solat Asar.

5. Solat Sunat Qabliyah Maghrib

Selepas masuk waktu Maghrib, anda bolehlah mengerjakan solat sunat ini. Berikut adalah lafaz niatnya:

أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.

*** Selepas mengerjakan solat sunat ini, anda boleh kerjakan solat Maghrib.

6. Solat Sunat Ba’diyah Maghrib

Selepas anda mengerjakan solat Maghrib, anda boleh terus menjalankan solat sunat ini. Berikut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ المَغْرِبِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Maghribi Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.

7. Solat Sunat Qabliyah Isyak

Sebaik sahaja azan Isyak berkumandang, anda boleh mengerjakan solat sunat ini. Berikut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

*** Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat sunat ini, anda boleh mengerjakan solat Isyak.

8. Solat Sunat Ba’diyah Isyak

Selepas mengerjakan solat Isyak, anda boleh mengerjakan solat sunat ini. Berikut adalah lafaz niatnya:

 أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ بَعْدِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Ba’diyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

Cara mengerjakan Solat Sunat Rawatib (Qabliyah dan Ba’diyah). 

Cara pergerakannya adalah sama dengan solat sunat lain. Yang membezakannya adalah lafaz niatnya.

1. Niat

Anda haruslah berniat untuk mengerjakan solat sunat ini.

 أُصَلِّي سُنَّةَ العِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً لِلهِ تَعَالَى

Usolli Sunnatal Isyak’i Rak’ataini Qabliyyatan Lillahi Ta’ala  

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.

2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah

Selepas Takbiratul Ihram, anda hendaklah membaca doa Iftitah.

Rakaat-Pertama-Doa-Iftitah-
Kredit Gambar: tzkrh.com / tzkrh.com

3. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah

Sesudah bacaan doa Iftitah, anda perlu membaca surah Al-Fatihah.

Surah-Al-Fatihah-
Kredit Gambar:teratakemas.com

4. Rakaat Pertama- Surah Al-Kafirun

Sesudah itu, bacalah pula surah daripada surah al-Quran. Anda boleh membaca mana-mana surah selepas Al-Fatihah. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Kafirun:

Surah-Al-Kafirun-
Kredit Gambar: cikfauziah.blogspot.com

5. Rukuk

Selepas anda habis membaca surah Al-Kafirun, hendaklah anda rukuk dengan tertib.

6. Sujud

Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.

7. Rakaat Kedua- Surah Al-Fatihah

Apabila anda bangun untuk masuk di rakaat kedua, anda perlu memulakannya dengan surah Al-Fatihah.

Al-Fatihah-
Kredit Gambar:teratakemas.com

8. Rakaat Kedua- Surah Al-Ikhlas

Usai surah Al-Fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Ikhlas seperti di bawah.

Rakaat-Kedua-Surah-Al-Ikhlas--
Kredit Gambar: izdeen.com

9. Rukuk

Selepas anda habis membaca surah Al-Ikhlas, hendaklah anda rukuk dengan tertib.

10. Sujud

Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.

11. Duduk Tahiyyat Akhir

Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Ketika ini, anda haruslah membaca bacaan Tahiyyat Akhir.

12. Salam

Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri. 

Begitulah salah satu tatacara Solat Sunat Rawatib. Diharapkan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda dan semoga amalan kita ini diterima oleh Allah s.w.t. Amin. Selamat beribadah!

Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.

Advertise With My Weekend Plan
Close
© Copyright 2023 by My Weekend Plan. All Rights Reserved.
Close