Setiap kali kita berwuduk, sebenarnya kita digalakkan untuk mendirikan solat sunat dua rakaat. Solat sunat ini dipanggil Solat Sunat Wuduk atau Solat Syukur Wuduk. Solat ini sebenarnya didirikan sebaik sahaja kita berwuduk, yakni anggota badan kita masih basah dengan air dan berdoa dengannya. Kalau anda hendak tahu, solat sunat ini merupakan antara amalan sunat yang kerap dikerjakan oleh baginda Rasulullah S.A.W.
Berdasarkan Imam al-Nawawi, solat sunat ini disunatkan untuk mengerjakannya bagi mereka yang berada dalam keadaan wuduk kerana mempunyai hadis yang sahih menyebut tentang sunatnya. Selain itu, solat ini juga tidak mempunyai waktu tetap untuk mengerjakannya, baik pagi atau petang, siang ataupun malam.
Solat Sunat Wuduk

Apakah hukum solat sunat ini?
Solat sunat ini dikategorikan sebagai solat sunat Muqayyad, iaitu solat yang dikaitkan waktunya dengan wuduk. Dalam erti kata lain, solat sunat ini boleh dilakukan walaupun dalam waktu terlarang untuk melakukan solat sunat. Selain itu, solat ini tergolong dalam solat sunat muakkad, yakni solat sunat yang digalakkan kita mengerjakannya.
Diriwayatkan oleh Abu Buraidah yang menceritakan bahawa:
Suatu hari selepas Rasulullah mengerjakan Solat Subuh, baginda memanggil Bilal dan berkata, “Wahai Bilal. Bagaimana kamu mendahului aku memasuki syurga? Setiap kali aku memasuki syurga, pasti aku mendengar hentakan sandalmu di hadapanku. Aku masuk ke dalam syurga semalam dan aku mendengar hentakan sandalmu di hadapanku.”
Lalu Bilal menjawab,” Ya Rasulullah, setiap kali azan, aku pasti menunaikan solat dua rakaat. Apabila berhadas, aku segera berwuduk. Dan apabila aku berasa perlu mengerjakan dua rakaat (sebagai tanda syukur) kepada Allah (yang menghilangkan kekotoran dan memberikan kebersihan).”
Sabda Rasulullah, “Jadi, dengan kedua-dua amalan ini, kamu masuk syurga.”
Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan setiap hadas yang berlaku hendaklah disusuli dengan wuduk dan setiap wuduk itu perlulah diikuti dengan solat sunat. Oleh itu, solat sunat wuduk boleh dilakukan pada bila-bila masa selepas anda berwuduk. (Rujuk Fathul Bari, Ibnu Hajar)

Apakah kelebihan Solat Sunat Wuduk?
Seperti solat sunat yang lain, solat sunat wuduk juga mempunyai kelebihannya tersendiri. Barang siapa yang mengerjakannya, dikatakan Allah S.W.T. akan mengampunkan dosa-dosanya yang lampau. Selain itu, mereka yang mengerjakannya akan masuk ke syurga. Bahkan, Bilal Bin Rabah menjadikan solat sunat ini sebagai salah satu amalannya semasa beliau hidup.
Bagaimanakah mengerjakan Solat Sunat Wuduk?
Selepas anda berwuduk, anda disunatkan untuk menbaca doa di bawah:




Maksudnya:
Aku bersaksi tidak ada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tidak ada sekutu untukNya. Aku bersaksi juga bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan utusanNya. Ya Allah, jadikan aku daripada golongan orang yang bertaubat kepadaMu. Dan jadikanlah aku daripada golongan orang yang bersih. Dan jadikan aku daripada golongan hambaMu yang soleh.
Kemudian, anda boleh mula mengerjakan Solat Sunat Wuduk.
1. Niat
Anda haruslah berniat untuk mengerjakan Solat Sunat Wuduk.

2. Rakaat Pertama- Doa Iftitah
Selepas Takbiratul Ihram, anda hendaklah membaca doa Iftitah.

3. Rakaat Pertama- Surah Al-Fatihah
Sesudah bacaan doa Iftitah, anda perlu membaca surah Al-Fatihah.

4. Rakaat Pertama- Surah Al-Kafirun
Sesudah itu, bacalah pula surah daripada surah al-Quran. Anda boleh membaca mana-mana surah selepas Al-Fatihah. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Kafirun:

5. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Kafirun, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
6. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
7. Rakaat Kedua- Surah Al-Fatihah
Apabila anda bangun untuk masuk di rakaat kedua, anda perlu memulakannya dengan surah Al-Fatihah.

8. Rakaat Kedua- Surah Al-Ikhlas
Usai surah Al-Fatihah, anda boleh membaca mana-mana surah di dalam Al-Quran. Antara surah yang boleh dibaca adalah Surah Al-Ikhlas seperti di bawah.

9. Rukuk
Selepas anda habis membaca surah Al-Ikhlas, hendaklah anda rukuk dengan tertib.
10. Sujud
Setelah itu, anda perlu sujud sepertimana solat fardu biasa.
11. Duduk Tahiyyat Akhir
Duduk tahiyyat akhir adalah duduk ketika membaca tahiyyat akhir. Anda disunatkan untuk duduk secara tawaruk, yakni duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Ketika ini, anda haruslah membaca bacaan Tahiyyat Akhir.
12. Salam
Akhiri solat dengan memberi salam, bermula dari kanan kemudian memalingkan muka ke kiri.
Begitulah salah satu tatacara solat sunat wuduk. Diharapkan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda dan semoga amalan kita ini diterima oleh Allah s.w.t. Amin. Selamat beribadah!
Perhatian: Senarai di atas merupakan hasil tinjauan pasukan My Weekend Plan bagi menyampaikan maklumat yang berguna kepada masyarakat. Sekiranya anda mempunyai cadangan, emailkan kepada kami di support@myweekendplan.com.my. Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk hak cipta, privasi dan polisi kami.